Saturday, March 10, 2007

Wahai Lelaki Pemalas

Catatan ini mungkin berbaur pesimis kepada kaum lelaki. Namun, ini adalah pengalaman saya sepanjang bekerja dan bergaul.

Saya memerhati lelaki di sekeliling saya. Saya memerhati lelaki yang membuat kerja atau melakukan perkara di sekeliling saya. Saya dapati...lelaki di sekeliling saya sangat kurang kredebiliti dan sikap kepimpinan. Banyak benda senang tidak mampu diselesaikan. Banyak benda yang boleh diikhtiarkan secara segera tetapi ditangguh-tangguhkan.

Puncanya apa?

1) Malas berfikir dan bertanya.
2) Tidak mahu berkorban sedikit masa untuk belajar sesuatu perkara baru.

Contohnya apa?

Bagi orang yang malas berfikir dan bertanya :

- Dalam menguruskan sesuatu kerja, biasanya dia tidak akan tahu perkara berbangkit. Setiap kerja ada masalah dan ada risiko. Justeru, untuk mengetahui masalah dan risiko itu dia harus berfikir sebelum bertindak dan bertanya sebelum melaksana. Barulah dia bersedia awal untuk menangani masalah itu. Jangan nanti terhantuk baru tergadah. Kelak jatuh akan ditimpa tangga.

- Sesetengah orang tidak dapat memikirkan apa yang bakal berlaku esok atau lusa. Dia hanya bekerja untuk hari ini dan gagal merancang untuk hari esok. Akibatnya, dia sering terpinga-pinga apabila tidak sempat untuk menyiapkan kerja yang sepatutnya boleh disiapkan. Kegagalan berfikir dan merancang, menyebabkan banyak kerja senang tidak mampu dibereskan. Akhirnya, dia akan menyusahkan ramai pihak di sekelilingnya.

Bagi lelaki yang tidak sanggup berkorban sedikit masa untuk belajar benda baru.
- Ramai lelaki tidak mahu bersusah dahulu. Contohnya menguasai kemahiran menggunakan komputer atau menaip dengan pantas. Apa salahnya jika kita duduk seketika untuk mempelajari ilmu IT dan ilmu komputer. Gunakan masa setahun untuk belajar dan akhirnya kita akan senang sampai bila-bila.

- Malangnya, ada yang kata 'Saya memang tak akan pandai komputer'. Walhal dia itu bukannya bodoh tetapi pemalas. Akibatnya, dia sendiri yang susah. Begitu juga dalam ilmu pengurusan masa dan pengurusan diri. Kita perlu mengambil masa dalam sehari demi merancang urusan seminggu. Apabila kita benar-benar mampu merancang dalam sehari, seminggu yang mendatang akan jadi mudah dan kerja lebih cepat.

Apa yang paling dikesali, kebanyakan lelaki sangat mudah melenting bila ditegur. Sangat benci bila ada yang menyibuk untuk memperbaiki kerjanya. Kalau boleh, dia tidak mahu diganggu sekalipun kerjanya tidak beres. Apa jenis orang ini?

Bagi perempuan, saya tidak mahu mengulas apa-apa. Kerana sepanjang pergaulan saya dengan perempuan, mereka lebih rajin dan sabar dalam melaksanakan sesuatu kerja berbanding lelaki.

No comments: