Sunday, March 04, 2007

Terus Berlari

Benarkah saya sedang berlari?

Uhhmm!

Ada beberapa agenda rutin yang menanti saat untuk digugurkan. Namun saya sendiri belum pasti sama ada agenda itu perlu digugurkan atau terus dilaksanakan? Disebabkan galasan tugas yang kian hari kian meningkat, saya jadi terbeban.

Sebetulnya ada beberapa tugasan baru di sekolah yang membuatkan saya kewalahan. Ia benar-benar menyempitkan ruang waktu saya untuk menyediakan diri bagi kuliah maghrib di waktu malam. Sudah beberapa kali saya terlintas untuk berhenti mengajar di surau-surau dan masjid-masjid di sekitar daerah Kelantan. Namun, hati saya sering berbantah-bantahan.

Di sekolah, amanah yang perlu saya lunaskan :

- Mengajar Al-Quran, Bahasa Melayu, Imlak dan Khat.
- Menjadi Guru Disiplin. (berhadapan dengan banyak masalah)
- Menjadi Unit Perhubungan Luar menguruskan tiket bas, keretapi dan kapal terbang pelajar luar Kelantan. (Perlu ulang alik ke stesen bas)
- Membuat kelas tambahan sebanyak 3 kali seminggu.
- Setiausaha mesyuarat guru-guru MTS.

Tugasan tersebut hampir memakan masa saya selama 12 jam sehari. Hingga apabila saya pulang diwaktu petang, tubuh sudah kepenatan dan kekadang saya hampir tertidur sewaktu memandu ke tempat kuliah.

Apatah lagi jika muncul minggu ujian ataupun peperiksaan, kesibukan itu menjadi berganda. Maklum saja, ketika itu saya perlu membuat soalan ujian dan memeriksa kertas jawapan pelajar.

Jadi...bagaimana?

Persoalan di sini cuma satu, adakah kesibukan ini bisa membuatkan saya berhenti mengajar di waktu malam? Dengan bebanan tugas di siang hari, wajarkah saya berhenti dari menyampaikan ilmu kepada masyarakat kampung?

Saya masih teringat, seorang pendengar kuliah saya menemui saya suatu ketika. Katanya "Ustaz, saya lihat tidak ramai orang muda seperti ustaz mahu berada di surau atau di masjid bagi memberi kuliah. Saya berpesan agar ustaz jangan berhenti mengajar di surau-surau ini"

Lagi, seorang ibu menelefon saya. Katanya "Ustaz, selepas saya hadiri kuliah ustaz...banyak ilmu yang saya temui. Malah saya sedar bahawa masih banyak perkara wajib yang saya tidak ketahui." Saya sering memikirkan kata-kata mereka.

Akhirnya, saya menemukan satu perkara. "Saya tidak boleh berhenti sama sekali!"

Benar! Saya sedari bahawa kemampuan saya begitu terhad dan tubuh saya tidak segagah mana. Namun, tugasan mengajar juga tidaklah memerlukan stamina yang banyak. Justeru... tiada alasan untuk saya berhenti dari menabur ilmu. Saya akan cuba untuk bertahan...menerusi doa-doa sahabat dan sokongan kalian.

"Doakan saya agar terus berdiri dan berlari!"






No comments: