Wednesday, October 31, 2007

Belajar dari Kelemahan Diri

Dua hari lepas saya baru menyiapkan satu buku motivasi untuk remaja. Dan saya bercadang untuk menulis beberapa siri lagi. Memang saya bukan motivator, yang penting saya ada pengalaman hidup yang dirasakan berguna untuk dikongsi dengan orang ramai.

Kenapa saya menulis buku motivasi untuk remaja?

Saya sebenarnya suka memerhati kekurangan diri dan orang sekeliling untuk diperbaiki. Ini menyebabkan saya sering kecewa dengan sikap orang lelaki di sekeliling saya. Terutamanya, remaja lelaki dari kelantan yang saya kenali memang banyak kelemahan. Saya cuba berbincang dan selami punca mereka bersikap dengan kekurangan itu. Akhirnya saya mendapat beberapa perkara sebagai kesimpulan. Dari situ...saya siapkan satu buku ringkas bertajuk "5 Paradigma Remaja Muslim Berkualiti". Buku ini belum terbit, entahlah ianya akan terbit atau tidak. Saya siapkan untuk simpanan saya terlebih dahulu. Jika tak ada penerbit yang suka, saya akan terbitkan sendiri. (Itu niat kecil sahaja)

Apa yang mendorong saya untuk menulis lagi ialah...

Suatu hari, kakak saya mengadakan rumah terbuka hari raya dengan menjemput rakan-rakan sepejabat. Kebetulan saya satu-satunya anak teruna yang ada di rumah ibubapa saya di Kelantan. Walaupun suami kakak(abang ipar) dan abah saya ada bersama, namun mereka sibuk melayan tetamu. Adik-beradik saya yang lain sudah pulang ke Kuala Lumpur untuk bekerja dan kembali ke kampus. Saya bertungkus lumus mengendali urusan hidangan majlis itu bersama adik bongsu yang lebih banyak duduk melayan rakan-rakannya. Hingga seorang rakan perempuan kakak saya menegur “Erm, one man show ke?” Saya hanya tersenyum dan katakan “Kebetulan saya anak teruna. Saya kena uruskan banyak perkara.”

Petang itu, kaki saya sakit dan mata saya menjadi merah. Sedari bahawa mata saya dijangkiti penyakit mata. Saya mula goyah untuk menghadiri satu lagi program pada malam itu. Saya perlu menyampaikan kuliah maghrib dan sekaligus membuat satu sesi recall ataupun muhasabah diri kepada peserta Sukarelawan di Sweet Beach Resort. Program itu bermula dari jam 7.oo malam sampai 12.30mlm. Dalam keadaan kaki yang lenguh dan mata yang kian kemerahan, saya gagahkan diri memandu sejauh 45 minit ke Bachok. Malam itu semuanya berjalan lancar dengan izin Allah.

Masalah yang saya perhatikan pada hari itu ialah...tiada lelaki(yang ada di rumah saya) yang membantu menyediakan hidangan atau mengurus sampah, sehingga saya terpaksa 40 kali turun naik tangga bagi menguruskan makanan tetamu. Lelaki lain memang ada...cuma tak bantu atau tolong2 mana yang patut. Malah sehari sebelum itu, saya perlu bawa nenek ke klinik dan memapahnya sendiri berjumpa doktor...itupun saya bawanya sebaik pulang dari kerja. Bila saya fikir, kenapa tidak minta tolong dari orang lain...jawabannya mudah. Lelaki lain tak sanggup buat, jika buatpun tak berapa harap sangat. Buat sekejap lepas tu diabaikan.

Ada satu kes...nenek saya mecak dan marah2 apabila orang lelaki(anak beranak juga) yang membantunya buat cincai-cincai. Biasalah, berurusan dengan orang tua perlu teliti dan sabar. Sebab mereka mudah terasa dan sangat cerewet.

Masalah lain pada hari itu ialah, orang lain tak endah jadual kita. Orang lain tak fikir kita nak buat apa lepas ni, kita perlu ke mana selepas ini. Saya terpaksa tarik diri dari buat kerja lebih awal sebab mahu ke Sweet Beach Resort. Jadi...sebaik jam 2 ptg. Saya dah kena berhenti bekerja dan reserve energy untuk malam itu. Tapi, iyalah. Orang lain bukan tahu apa kita nak buat, biasanya orang lain hanya tahu bergantung pada kita dan soal kita sendiri...tak tahu nak gantung pada sesiapa.

Keesokan harinya, sehari selepas open house saya mula berfikir. Andai saya sakit selepas ini, tidak mampu berjalan atau demam teruk. Siapa yang akan menguruskan saya ke klinik atau menjaga saya? Ibubapa saya sudah tua dan kakak saya sibuk menjaga anak-anaknya. Sedari kemungkinan itu, saya membuat keputusan untuk tidak menunggu dan berharap pada sesiapa. Kecuali Allah. Saya akui bahawa saya memerlukan orang lain untuk hidup, namun saya perlu menguruskan diri saya dengan bijak tanpa banyak menyusahkan orang lain. Hanya Allah sahaja saya memohon agar diberikan kesihatan untuk menjaga orang sekeliling saya.

Lagi, apa yang ingin saya Sampaikan?

Lalu saya terlintas untuk mencatat apakah kualiti yang perlu wujud dalam diri saya demi mempastikan saya mampu melepasi halangan dan kesusahan hidup ini. Tanpa merungut dan menyalahkan takdir. Saya berpendapat bahawa setiap remaja muslim perlu mempunyai kualiti diri yang tinggi sebelum berumahtangga. Dengan kualiti itu mereka akan bersedia menjadi nakhoda pelayaran di dalam lautan rumahtangga nanti. Saya juga mahu mencatat sesuatu untuk membantu remaja, khususnya golongan rakan sebaya yang melalui kehidupan dunia akhir zaman yang mencabar.

Apapun, saya bersyukur atas segala pemberian Allah swt sama ada yang baik ataupun yang buruk. Kerana setiap perjalanan hidup yang saya tempuhi mempunyai nilai yang besar dalam membentuk jati diri saya hari ini. Saya pernah dianugerahkan kejayaan, saya bersyukur. Saya pernah dihadapkan dengan kegagalan, saya mencari jalan untuk bangun dari ketewasan. Saya pernah bertemu dengan orang baik, saya belajar dari mereka. Saya bertemu dengan manusia yang jahat, saya berikhtiar untuk tidak mengulangi sikap dan perbuatan mereka. Benar, ujian hidup kita tidak serupa dan penyelesaian terhadap setiap perkara juga tidak sama. Namun, untuk melepasi setiap kesusahan hidup pasti di sana wujud asas-asas utama yang boleh diguna-pakai oleh setiap remaja Muslim demi melepaskan diri dari gumpalan permasalahan itu.

1 comment:

Komik-M said...

ubai, kenapa 5 paradigma? trend angka 7 dlm buku motivasi terbukti keberkesanannya dlm pasaran. contohnya 7 habits - stephen r. convey, 7 formula individu cemerlang - dr. danial zainal abidin etc. ana pun tak tahu kenapa dia pilih 7?