Tuesday, October 09, 2007

Ramai Muslimin Buta Al-Quran

Sepanjang Ramadhan saya menghadiri beberapa majlis tadarus dan sempat memantau kadar kemampuan membaca Al-Quran bagi orang kampung serta kaum kerabat terdekat. Saya menyedari bahawa kaum lelaki sangat bermasalah dalam pembacaan Al-Quran. Sepanjang saya menghadiri majlis tadarus, belum pernah saya menemui lelaki yang lancar bacaan serta kena hukum tajwidnya kecuali imam masjid atau pelajar tahfiz. Pendek kata, semua lelaki (selain dari dua kategori tadi) yang menghadiri majlis tadarus bermasalah dalam pembacaan Al-Quran.

Kekurangan itu kita lihat hanya pada mereka yang hadir dalam majlis tadarus. Bagaimana pula dengan lelaki yang tidak hadir? Saya yakin, mereka lebih bermasalah. Malah, saya berani katakan mereka sebenarnya masih buta Al-Quran. Jangan terkejut, ini kenyataan. Ramai Muslimin masih buta Al-Quran. Mereka cuma tahu baca Al-Fatihah, Surah Lazim dan Surah Yasin. Selain itu, mereka tak dapat baca.

Berbeza pula dengan kaum muslimat, hampir 50% muslimat boleh membaca Al-Quran dengan baik. Cuma sebahagian besar mereka tidak tahu jenis hukum, hanya tahu membacanya sahaja. Walaupun begitu, itu sudah bagus berbanding tidak tahu membacanya. Sehingga sekarang, bila dibanding-bandingkan antara kemampuan muslimin dan muslimat ternyata muslimat lebih baik prestasinya.

Kenapa boleh jadi begini? Kenapa kaum lelaki lemah dalam pembacaan Al-Quran. Jawapannya sudah jelas. Kerana mereka kurang atau malas membacanya. Sehingga kini, di kampung saya majlis tadarus hanya dibuat di dalam bulan Ramadhan. Sedangkan di bulan lain, kaum lelaki tidak membaca Al-Quran(Atau mungkin membaca dalam jumlah yang terlalu sedikit). Sudah tiga tahun saya duduk di dalam majlis tadarus Ramadhan di kampung sendiri dan ternyata tiada seorangpun yang bertambah maju prestasi pembacaannya. Jika tahun lepas mereka gagap dan tidak lancar, maka tahun ini juga begitu. Ini bererti mereka tidak memperkemaskan bacaan di bulan lain.

Bagi kaum muslimat, sebahagian besar daripada mereka sudah boleh membaca Al-Quran tanpa perlu ditegur lagi. Lancar, sebutan bagus dan cukup panjang-pendek madnya. Sebahagian muslimat lagi masih perlu dibimbing. Boleh jadi pembacaan Al-Quran semakin baik kerana kaum muslimat tidak perlu keluar bekerja dan mereka hanya duduk di rumah. Mereka mempunyai masa untuk membelek Al-Quran lebih lama. Sedangkan lelaki perlu keluar ke sana sini. Namun, itu bukan alasan.

Konklusinya, ramai lelaki buta Al-Quran. Jika tidak buta, hampir-hampir buta Al-Quran. Walhal salah satu tanggungjawab bapa terhadap anaknya ialah mengajarkan Al-Quran. Jika mereka sendiri buta Al-Quran sudah tentu mereka gagal dalam menggalas tanggungjawab itu.

Saya begitu hampa.

1 comment:

mawaddah said...

Adakah the blame can be put on the shoulder of the parents?