Wednesday, October 03, 2007

Tuhan Masih Ada

Ketika awal tahun, sewaktu saya mula-mula diberi pilihan untuk memilih kerjaya. Abah cakap "Peluang kerja yang datang serentak sampai dua tiga kerja ni, bukan datang senang-senang jer... Peluang biasanya datang pada waktu tertentu dan mungkin sekali ini sahaja. Boleh jadi sudah tiada peluang kedua. Jadi, pilihan perlu tepat dan jangan ingat lepas ni nak undur-undur lagi."

Aku termenung juga bila abah kata begitu. Maklumlah, ada kerja yang gajinya bagus, tapi manfaat ilmu aku terbengkalai. Ada kerja yang gajinya biasa jer, tapi dalam masa yang sama boleh dimanfaatkan ilmu yang aku belajar selama ni. Ada kerja gaji ok dan kena dengan minat aku pula. Pening juga nak pilih. Selepas dibuat pertimbangan berdasarkan ilmu dan agama, aku kembali kepada kehendak Allah dan RasulNya iaitu menyampaikan agama dan mengajarkan Al-Quran kepada manusia.

Habis fikir, akhirnya aku pilih untuk mengajar di sekolah YIK iaitu tempat aku berteduh mencari ilmu waktu di alam menengah dahulu. Masa mula-mula kerja, tiga bulan gaji tak masuk. Aku masih boleh hidup dan bawa sebuah kereta kancil. Alhamdulillah, tuhan beri kemudahan untuk aku menumpang dalam kesenangan keluargaku. Selepas gaji masuk, aku mula menyimpan dan merancang untuk banyak perkara.

Simpan duit nak sambung belajar, nak kahwin, nak pergi naik haji dan lain-lain. Namun, status bayaran gaji di YIK rupanya sangat membimbangkan. Tarikh bayaran gaji guru sandaran tidak menentu, kekadang masuk awal kekadang masuk lambat. Lebih malang lagi gaji guru ganti masih ada yang belum dibayar walaupun sudah enam bulan bekerja. Malah, gaji bulan September belum masuk lagi walaupun hari ni dah masuk 4 oktober(Dah masuk bulan lain!) Jadi, kalau nak dapatkan status guru tetap dalam masa setahun dua ini memanglah seperti pungguk rindukan bulan.

Aku mula rasa beruntung kawan-kawan aku yang masuk JQAF, KPLI, DPLI dan apa jua jenis profesion di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia. Gaji maintain, bayaran tinggi, tarikh masuk gaji dah tetap. Pendek kata banyak kelebihan yang mereka dapat. Aku mula bermimpi alangkah baiknya jika aku juga ikut jejak mereka. Maklumlah, ramai kawan aku yang ke sana orang yang hebat-hebat. Orang yang mempunyai banyak kelebihan.

Kalau aku duduk terus menerus di bawah YIK, dahlah gaji tak menentu kemudian banyak pula sekatan dan kekangan daripada pihak tertentu. Pendek kata, tak banyak keistimewaan duniawi bagi orang yang mengajar di YIK. Lalu aku tatap wajah anak didik yang ada di sekolah YIK. Aku terfikir, aku dahulunya sama macam mereka. Aku masuk ke sekolah YIK ingin belajar dan mendapat didikan dari guru-guru yang ikhlas. Malah, aku juga temui banyak ketenangan dalam diri berbanding sepupu-sepupuku yang belajar di MRSM dan sekolah kementerian yang lain.

Di sekolah YIK, walaupun penuh dengan kedhaifan namun aku beruntung kerana ditarbiah oleh guru yang mengenal erti pengorbanan. Walaupun YIK banyak kekurangan, aku beruntung kerana mengenal guru-guru yang sabar dengan ujian kebendaan. Aku sudah lihat berapa ramai guru-guruku yang dahulu sehingga kini masih tetap di situ. Di sekolah yang sama dan terus konsisten dalam mendidik anak-anak watan. Mereka tak goyah berteduh di bawah bumbung YIK yang sudah bocor dan tiris.

Aku mula sedar, di YIK aku akan memahami erti pengorbanan, tarbiah, kejujuran, kesabaran, keikhlasan dan paling besar aku yakin di YIK aku menemui keberkatan yang lebih. Mungkin YIK tidak mampu memberi apa yang aku mahu (Duit dan material)...tapi, aku sedar YIK memerlukan sumbangan dariku. Jika orang yang belajar agama sepertiku tidak bersedia menyumbang untuk sekolah di bawah YIK, maka siapa lagi yang boleh diharapkan? Jika aku tidak memilih jalan ini....siapa lagi yang akan sanggup?

Mungkin aku akan jadi manusia miskin harta, kurang kemewahan dan dhaif dari sudut material. Namun, aku berharap tuhan tidak memandang kekurangan itu. Malah aku mohon tuhan curahkan keberkatan hidup dan ketenangan dalam hari-hari yang aku lalui. Dan aku sentiasa yakin, tuhan sentiasa membantu orang yang sabar.

Dan memang telah terbukti, tuhan itu ada. Dan dia pasti bersama orang yang sabar.

Bersabarlah wahai diriku.

"Sesungguhnya jalan jihad itu panjang dan berliku...di atasnya ada duri dan racun, di pinggirnya ada kepahitan dan kesusahan...namun dihujungnya pasti adalah syurga."

2 comments:

annasru said...

salam muqadimah. moga istiqamah

A. Ubaidillah Alias said...

Syukran. Mudah2an kita semua istiqamah.