Saturday, October 18, 2008

Sampaikan Agama Allah

Jika tiap-tiap hari anda pergi ke sekolah dan mengajar Bahasa Arab, tiba-tiba anda diminta untuk mengajar Bahasa Inggeris. Adakah pantas anda menerimanya? Jika setiap hari anda berhadapan dengan anak murid yang lebih muda dari anda, tiba-tiba anda diminta untuk berhadapan dengan orang berbagai peringkat. Tua, muda dan veteran. Adakah anda akan menghadapinya?

Perkara yang perlu dilakukan adalah sama sahaja iaitu mengajar, tetapi bahan yang disampaikan dan pendengarnya yang berlainan. Bagi seorang penceramah, yang penting adalah pendengarnya. Jika dia yakin mampu menguasai pendengar, pasti semuanya akan menjadi lancar.

Beberapa minggu kebelakangan ini saya menilai diri sendiri. Banyak pintu rezeki terbuka dan beberapa perubahan berlaku dalam perjalanan hidup sebagai penceramah. Dahulu saya hanya berada di platform masjid dan sekolah menengah. Kini saya sudah memasuki medan kampus. Berhadapan dengan golongan terpelajar di UM dan USM. Dan secara tidak langsung saya mula dijemput untuk memberi pembentangan di hadapan pembantu halaqat dan pegawai yang mengurus masjid.

Ini adalah cabaran bagi seorang pemuda seperti saya.

Saya boleh memberikan alasan bahawa 'Saya Belum Bersedia', 'Saya Tidak Mampu', 'Saya Sibuk' dan lain-lain lagi. Tapi saya tanya pada diri sendiri. Kenapa kamu memilih jalan ini? Jalan seorang muallim? Kerana saya mahu menyampaikan agama kepada orang lain.

Justeru, apa yang saya lakukan selama ini adalah menyampaikan agama Allah. Adakah saya masih belum bersedia untuk menyampaikan agama Allah? Sudah tentu saya bersedia.

No comments: