Wednesday, October 22, 2008

Sekeping Nota dari Nanda Gracer

Ini adalah petikan dari novel yang sedang saya bikin 'Diversi Sebuah Legasi'. Suatu nota dari Nanda kepada Imran.

.......

KERUNTUHAN ini sudah dirancang bertahun-tahun. Dan semua bangsa sudahpun terjerumus ke dalamnya. Aku hanya ingatkan sahaja, bahawa semua lima elemen (sex, song, smoke, screen and sport) yang dimasukkan ke dalam negara ini bermotifkan diversi.


Diversi; mengalihkan perhatian umum daripada fokus terhadap perkara prioriti. Diversi ini dilakukan untuk membuang rasa tanggungjawab dan obligasi dalam jiwa setiap individu. Agar yang terpenuh dalam mindanya adalah populariti artis, fesyen, trend, hiburan, fantasi dan mimpi-mimpi duniawi. Pantas tugasan memimpin, memikul risiko dan menyelesaikan permasalahan hidup ini akan terpinggir secara automatik.


Lihat saja dalam negara ini, anak-anak muda sudah terbiar kerana ibubapanya mengejar harta dan kenamaan. Ibubapa yang ada sekarang tidak berupaya mendidik dan membentuk peribadi anak mereka, kerana mereka nihil idealisma. Mereka sudah memenuhkan minda dengan materi bukan ideologi. Mereka sudah memfokuskan hidup mereka untuk memperbanyakkan wang dan harta demi mencapai fantasi. Prioriti sebenar adalah mencari ilmu dan melaksanakan obligasi demi mempastikan keluarga mereka selamat. Diversi itu telah menukarkan mereka dari seorang manusia kepada sejenis haiwan. Mereka tidak punya prinsip atau paradigma. Mereka hanya hidup persis lembu dan kambing yang tahu makan dan memenuhi nafsu. Lalu, anak-anak mereka membesar dalam keadaan terkapai-kapai, hingga menjadi sampah-sampah terhormat dalam masyarakat.


Rasuah, seks, rogol, rompak, buli, dera dan segala penyakit sosial sudah menjadi semacam ironi. Tiada rasa pelik dan tiada rasa jakun. Penyakit itu semakin mesra dan mendarah daging dalam perilaku masyarakat ini. Akhirnya, negara akan dipenuhi ketakutan dan kebimbangan. Dibawah sedar, fantasi yang mereka kejar itu menjadi mimpi ngeri yang kompleks, tersimpul bagai benang kusut. Tidak mampu dibuang atau dileraikan dari tabi’e masyarakat ini.


Imran…


Jika kau sempat membaca catatan ini. Kau harus fikirkan cara untuk menyelamatkan pemuda-pemudi dari ditipu oleh lima elemen tadi. Elakkan dari terjerumus ke dalam diversi hingga keciciran obligasi dalam menyempurnakan prioriti. Dunia sudah hampir ke penghujungnya, jangan biar dirimu hanyut dibawa arus akhir zaman ini.


Imran…aku sentiasa berharap, engkau akan menjadi muslim yang baik.


Nanda Gracer.

No comments: