Wednesday, October 22, 2008

SUBMIT NOVEL KE-3 BULAN DEPAN

Insya allah!

Saya sudah masuk ke bab akhir penulisan novel terbaru. Judul yang saya pilih setakat ini 'DIVERSI SEBUAH LEGASI'. Dan semahunya saya ingin cuba lari dari judul klise yang bertamakan 'Cintan-cintun'. Ini adalah sebuah novel pendedahan terhadap krisis dunia, agama dan identiti remaja. Ia membawakan tema cinta dan konflik agama.

Petikan 1 :

“Sudah tentu. Senjata kita tidak terhalang oleh sempadan dan ruang. Lima senjata yang kita serapkan iaitu sex, screen, sport, smoke and song begitu efektif. Kesannya jenayah kian meningkat. Kes bunuh dan ragut, kes gangguan seks sama ada rogol dan zina berleluasa, penagih pil dan dadah meningkat, orang mula merasai ketakutan. Ini adalah signifikan kejayaan lima senjata kita.” Agron menghembus asap tembakau yang berkepul-kepul dari mulutnya.

“Jika dahulu kita menjarah menggunakan serangan infantry dan bersenjata, ia menyebabkan kerosakan muka bumi yang banyak. Ia tidak banyak mengubah pemikiran penduduk yang dijarah. Kini, kita menyerang menerusi lima senjata tadi. Impaknya sangat memuaskan. Kita hanya mengubah pemikiran mereka. Akhirnya mereka kehilangan identiti dan secara automatik mereka membuang agama nenek-moyang mereka. Iaitu Islam.” Lelaki di sebelah Agron menyorot anak matanya ke dalam. Seolah dia mampu melihat perkara yang sedang berlaku.


Petikan 2 :

‘Jangan gusar wahai hati, masih ingatkah kamu pada pesanan agama?’ Dia cuba memujuk sendiri. Wajah rakan datang bertindihan, muncul dan hilang bergantian. Wajah guru-guru dan mu’allim turut bergentayangan namun wajah Mustofa muncul dan tersenyum.


“Mengertilah bahawa agama itu satu jalan yang bersifat merungkai dan menyelamat. Ia diperlukan waktu santai dan amat-amat bermanfaat diwaktu tegang. Sudah pasti jika kamu dibelit kebuntuan dan kesuntukan, hanya ada satu kuasa sahaja yang bisa meleburkan kebuntuan itu. Itulah Allah. Mohonlah bantuan menerusi sikap sabar dan bangunlah bersolat. Insya allah dia mampu keluarkan dirimu dari kebuntuan itu.”


Dialog yang pernah terakam dalam memorinya muncul lagi saat hatinya sedang runtuh dilanggar badai kecewa. Memang benar, figura Mustofa begitu banyak memberi kekuatan dalam jiwanya yang sedang pecah dan hancur.


“Ya Imran, kemarahan berpunca dari kekecewaan, dan kekecewaan itu berpunca dari ketidak-puasan hati menerima suatu ketentuan. Atau boleh dianggap bahawa kekecewaan itu lahir apabila kita cuba menolak takdir yang tersurat.”


“Ya Mustofa, bukan mudah untuk menerima takdir yang besar. Apatah lagi untuk menerima hakikat kita kehilangan sesuatu yang berharga”


“Imran, kamu sudah tersilap menilai sesuatu. Sesungguhnya kita tidak pernah memiliki apa-apa, bagaimana kita perlu merasai kehilangan sesuatu? Adakah kamu memahami bahawa segala yang di dunia ini hanya pinjaman, sebagai modal untuk membuat bekal ke akhirat. Adakah kamu mengerti?”


“Pinjaman sebagai modal?”


........


Saya mohon doa dari rakan-rakan agar buku ini mampu menjentik kesedaran dalam sukma kita semua. Insya allah.

No comments: