Sunday, October 12, 2008

KETENANGAN ADALAH IMPAK BERJEMAAH

Sudah empat bulan saya berumahtangga dan menjadi seorang suami. Memikul bebanan seorang khalifah dan melaksanakan amanah beragama. Sejujurnya dan setulusnya, ia bukan mudah dan prosesnya sukar. Mungkin bagi yang belum berkahwin terasa mahu merasai alam rumahtangga. Saya ingatkan terlebih dahulu khususnya kepada lelaki. Jangan terlalu berkhayal tentang hal yang menyeronokkan. Sebaliknya perlu ada satu sikap untuk memimpin, menjaga dan mendidik pasangan dengan agama. Namun, percayalah setiap kesukaran yang ditempuh hujungnya memberi pengajaran dan menambahkan kecintaan terhadap pasangan. Jika dilalui dengan berhemah dan ikhlas.

Terbukti, sehingga hari ini solat berjemaah benar-benar memberi impak besar kepada jiwa ketua keluarga. Malah berkat berjemaah itu memberi ketelusan dalam komunikasi sepanjang hari. Selama empat bulan ini saya mengamati, solat jemaah subuh adalah kunci ketenangan jiwa untuk hari tersebut. Manakala solat-solat lain adalah penyelesai masalah yang berbangkit di dalam keluarga.

Berdasarkan pengalaman sendiri, jika hari itu saya terlepas jemaah subuh. Akan ada konflik yang berlaku antara saya dan pasangan. Samaada wujud salah faham atau kecacatan dalam pengurusan. Konflik itu tidak besar namun ia menyukarkan proses harian saya.

Menyedari hal itu, saya nasihatkan diri saya dan saudara sekalian. Khususnya yang bernama lelaki. Berjemaahlah setiap waktu. Kerana jika kita membesarkan Allah, pasti Allah mampu membantu kita. Berilah ruang untuk Allah, pasti Allah akan meluangkan masa untuk menyelesaikan masalah kita. Sebaliknya, jika kita membesarkan dunia pasti dunia akan memberi lebih banyak kerumitan.

Ingatlah, ketenangan adalah impak yang tercipta dari konsistensi berjemaah. Tunaikan sedaya upaya.

'Jadilah ketua dan khalifah yang baik. Semoga dirahmati Selalu'

No comments: