Sunday, June 18, 2006

Ada Apa Pada Nama?

Nama biasanya perkara pertama yang kita sebut di awal pertemuan. Sesetengah orang yang saya temui akan menyebutkan namanya tanpa ditanya. Dia akan memberitahu sewaktu berjabat tangan "Saya James Bond" (Contoh) dan saya akan membalas dengan memberitahu nama sendiri. Kebiasaannya mereka adalah orang-orang bisnes dan ada kepentingan.

Begitu juga jika anda ke opis dan pejabat, perkara pertama yang akan ditanya adalah nama. "Apa nama encik?" "Boleh saya tahu encik ni siapa?" dan lain-lain. Bermakna, nama ini penting bagi memudahkan sesuatu urusan. Malah bagi saya(sekadar opini), memberitahu nama sebenar pada awal pertemuan menunjukkan ketelusan dan suci niat. Tidak ada unsur untuk berselindung atau muslihat.

Apapun, hal ini bergantung pada situasi. Jika pertemuan itu berlaku di tempat yang tak sesuai, seperti di tandas awam atau di perpustakaan awam. Memang tak sepatutnya kita memperkenalkan diri. Lagipun perkenalan di tempat begitu tidak ada sebarang kepentingan. Begitu juga jika kita tidak kenal langsung orang yang kita bercakap dengannya, kita pasti dia tidak ada kaitan dengan urusan yang kita sedang lakukan. Maka, tidak perlulah kita memperkenalkan diri.

Berbeza pula dengan orang yang kita sudah kenal nama, status dan kedudukannya. Adalah wajar untuk kita memberitahu nama sendiri kepadanya walaupun tidak ditanya. Sebagai bukti keterbukaan diri kita untuk menerima apa sahaja kebaikan darinya. Mungkin dari titik itu, orang itu tergerak hati untuk menyalurkan sebarang opini dan hal-hal yang bisa membantu kita di hari mendatang. Biarpun ia seolah-olah berkepentingan, namun memang ia sepatutnya begitu.

Contohnya jika saya menemui saudara Faisal Tehrani atau Kak Nisah, saya akan memperkenalkan nama dan diri walaupun tidak ditanya olehnya. Bagi memudahkan dia berhubungan atau menyalurkan maklumat selepas ini.

Kesimpulannya, nama adalah suatu fakta yang tidak perlu disembunyikan dari khalayak. Andai nama kita menjadi makruf di dalam khalayak, ia memudahkan pintu komunikasi dan saluran informasi. Jadi, tak perlulah kita terlalu merahsiakan nama daripada orang lain melainkan orang itu mempunyai ramai musuh dan takut akan ditimpa musibah.

3 comments:

ma said...

Bond...James Bond

Vodka Martini, shaken, not stirred.

Hani said...

Dalam kebanyakan urusan, memang penting saling tahu nama.

Tapi dalam keadaan tertentu, saya senang nama saya tak diketahui orang. Tak mengapa kan, cikgu? :D

A. Ubaidillah Alias said...

Untuk orang perempuan, kena tengok keadaanlah. Dalam berurusan... lebih mudah kalau terus beritahu nama sendiri.

Iya, tengok keadaan. Bagi lelaki, saya rasa lebih baik terbuka. Tak perlu segang2.

Kalau guna NAMA PENA, itu cerita lain. :D

-ubaid-