Saturday, May 06, 2006

Penjara Persepsi

Saya masih menyesali diri sendiri yang tidak begitu peka terhadap buku-buku di sini. Enam tahun saya berada di Kaherah, toko buku yang wujud di Seventh District atau Nasr City sangat kurang saya akrabi. Sejujurnya toko buku sangat karib malah ada di mana-mana. Jika saya ke kuliah, saya bisa sahaja singgah di pustaka Darul Salam yang berada di hujung jejantas berdekatan Khan Khalili untuk melihat buku-buku arab atau Inggeris. Atau saya boleh ke pustaka Halabi di belakang masjid Al-Azhar untuk mencari kitab jawi. Tetapi mata saya tertutup dan minda saya terkurung dalam penjara persepsi. Menyebabkan saya tidak tahu siapakah pengarang yang bagus dan apakah syarikat percetakan terbaik di Mesir.


Mungkin kerana penguasaan nahu saraf saya lemah menyebabkan saya tidak ghairah membaca majalah atau akhbar Arab. Pembacaan saya terbatas kepada kitab kuliah semata. Selebihnya saya akan membaca majalah Suara Kampus atau buku-buku ilmiah terbitan siswa Al-Azhar dalam bahasa Melayu. Secara beransur-ansur situasi itu memadamkan kemesraan saya dengan buku berbahasa Arab. Apatah lagi setelah melihat gelagat orang Mesir yang seolah-olah seperti 'Majhul' dalam segala hal membuatkan saya kurang berminat untuk berbaik-baik dengan orang Arab. Walhal masih terlalu ramai orang Mesir yang Alim dan Arif, mungkin saya sudah terkena peribahasa 'Akibat nila setitik maka rosaklah susu sebelanga'.


Prof Dr Mahmud Zuhdee juga pernah menegur pelajar Mesir dalam satu majlis.


"Saya kecewa kerana anda menganggap Mesir ini sebuah negara miskin dan terkebelakang. Malah anda langsung tidak membaca majalahnya, buku-bukunya dan langsung tidak mengkaji ketamadunan yang ada di sini. Saya yakin jika anda mengambil masa memerhati isi di dalam buku yang ada di sini...persepsi anda akan berubah." (Lebih kurang begitulah isi ucapannya)


Selain hal itu, disaat saya diminta menulis untuk PTS, saya seperti hilang punca. Saya terpaksa mencari buku berkaitan dengan komparatif antara agama Islam dan Kristian. Rujukan saya terbatas malah saya langsung tidak tahu siapakah pengarang buku yang menulis berkaitan hal tersebut kecuali Ahmad Deedat. Apapun, buku itu telah selesai saya uruskan dengan rujukan yang terbatas.


Kebetulan semalam, saya bertemu seorang rakan di simpang Abbas Zakzuq dalam perjalanan pulang dari solat Jumaat. Saya memberitahu tentang perkembangan diri dan dia segera memberitahu.


"Ada sebuah toko buku di simpang Toiran berhampiran Masjid Nuri. Di situ kamu dapatkan buku tulisan Dr Majdi Marjan yang diterbitkan oleh Maktabah An-Nafizah. Dr Majdi adalah seorang kristian yang akhirnya memasuki Islam. Beliau seorang hakim jenayah di Mahkamah Sivil Kaherah. Beliau banyak menulis buku berkaitan perbezaan agama Islam dan kristian."


Saya memang menyedari bahawa pemikiran saya telah dikurung dek persepsi sempit sendiri. Saya berharap dalam kapasiti waktu yang terbatas, saya akan segera memperbaiki kelaring yang bersempudal di cermin persepsi saya. Saya berharap bagi siswa/siswi Mesir yang masih punya kapasiti waktu yang banyak, manfaatkan waktu itu untuk membaca majalah dan buku Arab. Saya jamin, anda tidak akan rugi!

No comments: