Wednesday, May 17, 2006

Surat untuk IBU (Dari anakmu yg nakal)

Assalamualaikum ibu,

Apa khabar ibu di sana? Sihatkah? Makan minum ibu baik sajakah? Anakmu di sini baik-baik sahaja. Mahukah ibu mendengar bingkisan dari anak nakalmu ini?

Ibu, sebetulnya aku mahu membeli hadiah paling besar untukmu sempena hari ibu. Sebesar gunung everest! Tapi...aku tak punya wang. Wang hasil tulisanku juga tidak begitu lumayan, sekadar cukup untuk membiayai kos pengajianku sahaja. Sementelah, aku mohon maaf sebanyak-banyaknya. Kerana aku tidak mampu berada di sisimu sekarang, tidak bisa membantumu di dapur atau menemanimu keluar rumah. Kerana aku perlu belajar lagi untuk mendapatkan segulung ijazah. Bisakah ibu bersabar sementara kepulanganku? (Sambil-sambil itu tolong perhatikan jika ada calon yang sesuai untukku)

Ibu, biarlah suratku ini menemanimu bercerita. Bolehkan? Tapi, sarungkan dahulu cermin matamu dan bacalah baris-baris tulisanku. Moga ibu bisa tersenyum membacanya.

Ibu, aku sudah belajar memasak sendiri. Ibu tahu dahulu aku memang malas membantumu di dapur, tapi sekarang aku yang paling rajin. Aku ke pasar sendiri, membeli sayur-sayuran dan bahan mentah. Aku mengupas bawang, memotong sayuran, menyiang ikan dan ayam, kemudian aku memasak. Aku sudah tahu bagaimana menabur garam atau gula secukup rasa. Jika aku pulang nanti, izinkan aku memasak untukmu. Biar ibu rasai bagaimana air tangan masakanku. Pasti menyelerakan. Kalau dulu aku hanya tahu bermain bola, tapi kini aku sudah boleh berada di dapur lama-lama. (Ertinya aku sudah layak untuk berkahwin dan menjadi suami mithali)

Aku tidak lupa, ibu paling sukakan gulai lemak ikan kering. Waktu santai ibu suka makan biskut tawar dan air kopi. Selain itu, ibu suka kunyah kacang butir dan pulut kuning. Jangan bimbang, bila aku pulang ibu tidak perlu mencarinya lagi...aku akan sediakan untuk ibu.

Ibu, aku tahu sendi dan lutut ibu sering sakit dan menyukarkan ibu memandu. Jangan terburu-buru, ibu harus tunggu aku pulang. Aku akan menemani ibu setiap isnin ke pasar basah. Aku akan jinjitkan sayur, ayam, daging atau apa sahaja yang ibu beli di sana. Setiap jumaat ibu ke tempat kuliah, aku akan pandu kereta untukmu. Atau ibu mahu menziarahi jiran-jiran mahupun kerabat ibu, silalah mengajakku bersama. Aku bersedia dan aku memang mahu menemanimu ke mana sahaja. Ke mana sahaja.

Ibu, kalau ibu merasa lenguh tubuh dan sengal sendi. Panggil sahaja namaku, aku akan segera ke sisimu. Mahu urut di mana? Biar aku sapukan minyak angin dan mengurut urat-uratmu yang uzur. Aku mahu dan aku bersedia untuk itu. Kerana kau sudah bergolak bergadai menyabung nyawa mengandung serta melahirkan aku. Bererti, aku juga perlu mengikat janji pada nyawa sendiri untuk bergolok bergadai demi kebahagianmu. (Aku belum belajar lagi menggunakan hikmat golok)

Ibu, aku seorang anak yang nakal bukan? Mahukah kau dengar puisi nakalku? Begini...

Ibu, sekali kau menjadi ibuku...
Selamanya kau adalah ibuku...
Ibu, sekali kalu melahirkan aku...
Selama-lamanya aku adalah anakmu...
Ibu, kau sanggup bergadai nyawa untuk menjagaku...
Hingga hujung nyawa jugalah aku akan menjagamu...

Sedapkah puisiku ibu? Jika sedap, bolehlah ibu andaikan itu sebagai hadiahku untukmu. Jika tak sedap, aku akan bikin sebuah puisi lain di lain hari. Khas untukmu ibu. Ibu tunggu ya. Kalau tak tunggupun tak apa.

Ibu... jaga diri. Tunggu aku pulang. Ok, permisi dulu. Ops...terlupa nak cakap something.

"Ibu, I miss you and i really L..O...V...E... you" (Tak lupa juga untuk bapa. I Love you too)

Wassalam.


No comments: