Wednesday, May 17, 2006

Si Teruna Malang

(Kejadian ini benar-benar berlaku beberapa hari yang lalu, di sebuah kepulauan berhampiran dengan pulau antah berantah. Perhatian, jangan baca jika takut rugi masa)

Si teruna meminta sesuatu dari si dara, si dara geleng. Tidak mahu(berani) memberi. Si teruna memujuk...meminta dan memberi janji, yang diberi pasti dipulang kembali. Tidak banyak, sedikitpun memadai. Si dara fikir berputar-putar, sampai berkerut dahi. Si dara angguk. Baiklah, cuma kali ini si dara memberi dan tidak ada lagi kedua kali. Dengan syarat, yang diberi pasti dipulangkan kembali. Si teruna angguk. Berjanji. Bersumpah demi handphone Nokia versi terkini, berjanji bersaksikan simcard Celcom edisi Minute plan.

Si dara mengutus surat, berisi kepingan visual yang diketik menerusi lensa kamera berteknologi tinggi. Dalam gusar dan debar, dia mengirim. Si teruna menanti, hingga waktu memakan hari dan hari memakan minggu. Biasanya surat melintasi benua dan lautan memakan waktu 10 hari. Dan setelah 10 hari berlalu, si teruna berulang alik dari rumah ke kotak posto. Hari ke 10, hampa. Hari ke 11, kecewa. Hari ke 12, frust! Hari ke 13, tiba-tiba ada member mengetuk pintu bilik dan memberitahu "Tak mahukah hamba melihat surat di kotak posto?" Si teruna geleng. Kata si member "Surat hamba dah tiba, ada sampul tertulis nama tuan hamba." Tanpa mengucap terima kasih, teruna melompat keluar dari bilik dan berlari ke kotak posto.

Entah bagaimana, angin bertiup kencang dan badai mengolek-olek kotak posto hingga terjatuh dari tempatnya bergantung. Surat di dalam tercampak ke luar dan hampir terjatuh ke dalam longkang yang sedang menakung air. Si teruna teringat janji. Dia harus menghantar kembali kepingan di dalam surat. Si teruna berlari-lari sekuat hati. Dan kuasa angin mengatasi segala, surat itu benar-benar terjatuh dan tenggelam ke dalam longkang. Warghhhh! Si teruna tergeletak lemah di tepi longkang. Hujan turun lebat tiba-tiba dan air longkang mengalir deras membawa pergi suratnya entah ke mana.

Apa aku nak cakap pada dia? Bagaimana janjiku hendak kukota? Surat tiba dan aku perlu kembalikan isinya. Tapi...surat tak sempat dibuka dan air longkang itu mencurinya dariku. Aduh! Mungkinkah aku meminta sekali lagi darinya? Percayakah dia bahawa surat ini telah dihanyutkan air longkang depan rumahku? Percayakah si dara?

Aku tak menipu, longkang itu yang mencuri suratku. Bukan niatku untuk tidak mengembalikan apa yang telah kau beri. Tapi....aghhh!!! Adakah kau percaya padaku? Korang percaya tak?

No comments: