Sunday, May 28, 2006

Boleh Kahwin Misyar...Bolehkah?

Kecoh sehari dua ni Tuan Guru Dato Haji Nik Aziz Nik Mat menyatakan kahwin misyar dibolehkan. Iaitu kahwin atas tujuan memenuhi tuntutan batin wanita dan tidak tuntutan zahirnya. Hal ini berlaku di negara kaya yang kebanyakan wanitanya mempunyai pekerjaan yang bergaji tinggi.

Opini masing-masing berbeza dalam hal ni. Yang jelas, syarak membenarkannya. Pun begitu, suka untuk saya berkongsi pengalaman sebagai anak yang dibesarkan dalam keluarga berpoligami.

Isunya bukan pada jenis perkahwinan. Tak kiralah poligami, monogami, misyar atau yang seumpama dengannya. Itu bukan isu utama. Yang penting adalah agama si bapa dan si ibu biarlah benar-benar muslim/ah dahulu sebelum mendirikan rumahtangga. Barulah pasak baitul muslim benar-benar rigid dan tidak bergoyang ditiup dek angin mehnah. Anak-anak yang lahir juga bisa menjadi qurratu a'ayun di dalam keluarga mahupun masyarakat.

Keduanya, bagi lelaki yang benar-benar mahu berpoligami. Wajib(pada pandangan saya) mencari isteri pertama yang benar-benar tinggi agama dan kuat sabarnya. Kerana tidak ada seorang wanita di dunia ini yang sanggup diduakan. Malah tidak ada wanita waras yang tidak cemburu pada suami yang berkahwin lebih dari satu. Ini adalah fitrah dan naluri biasa seorang wanita. Jika suami memilih isteri pertama yang lemah iman dan agamanya, saya yakin jika si suami berpoligami... suasana rumahtangga akan jadi retak menanti belah. Cemburu akan menyebabkan api di dalam jiwa isteri meledak dan rasa iri membuak-buak. Akhirnya? Perang dunia meletus. Anak-anak yang akan jadi korban. Kasihan bukan?

Kerana sepanjang pemerhatian saya, ibu lebih banyak memainkan peranan mendidik anak-anak menjadi manusia. Kehadiran si bapa hanya melengkapkan sekitar 30-40% faktor kasih sayang di dalam jiwa anak. Rata-rata kita melihat anak-anak lebih intim dengan si ibu. Betulkan? Jarang-jarang sahaja anak rapat dengan si bapa. Sebab itu, Nabi saw berpesan sungguh-sungguh "....pilihlah yang beragama, nescaya kamu akan beruntung."

Saya tidak bersetuju dengan poligami, bererti saya juga kurang bersetuju dengan perkahwinan misyar. Bagi saya, matlamat terbesar perkahwinan adalah melahirkan generasi Islam untuk masa mendatang. Jika institusi ini tidak dijaga dengan penuh prihatin dan konsisten oleh ibubapa. Matlamat yang besar ini akan gagal. Apatah lagi jika si bapa kahwin dua atau tiga, saya sangat percaya anak-anaknya tidak akan mendapat sepenuh perhatian dalam pembentukan sifat dan akhlak. Ini memang kasihan. Makin ramai anak-anak yang nak jadi seperti Mawi, Salima, artis dan penyanyi. Kenapa? Antaranya disebabkan mereka tidak mendapat contoh role model yang baik dari ibubapa sendiri.

Walaupun begitu, saya sangat berbangga pada keluarga yang mampu hidup dengan sentosa walaupun berpoligami. Hal ini menepati seruan nabi "Berkahwinlah dan ramaikanlah bilangan zuriat, sesungguhnya aku berbangga dengan bilangan umatku yang ramai di hari akhirat". Malah saya sendiri sangat berbangga dengan keluarga saya yang mempunyai seramai 15 beradik dan dua orang ibu. (hebat bukan? :D)

Bukan bermakna saya membantah, tetapi kurang bersetuju dengan kahwin misyar. Apa pula pandangan anda?

___________________

Baitul muslim : Rumahtangga yang Islam
Qurratu A'ayun : Penyejuk mata

5 comments:

tintaHati said...

Perkahwinan itu adalah mitsaqan ghaliza. Bukan hanya sekadar memenuhi tuntutan nafsu syahwat tetapi mempunyai peranan yg besar dlm membentuk keluarga yg sakinah, mawaddah dan rahmah bg membentuk generasi pewaris perjuangan islam.

Harga diri seorang suami dlm perkahwinan misyar nampak terlalu rendah krn semua kewajipan/tggjwb suami terhadap isteri terletak pada bahu isteri. Abis tuh apa peranan suami? Bila dah ada zuriat, isteri juga yg tggung! tak bestla.

Patutnya susah senang dikongsi bersama. Kalau lelaki dapat calon isteri yg educated terimala seadanya. tak perlu rasa terlalu rendah diri. Kerana, setinggi mana pun pangkat/kerja/harta tempatnya tetap di bwh suami. Suami tetap ketua rumahtangga. Dah syurga letaknya di bwh telapak kaki suami. Dan dipihak suami sendiri pun seharusnya bijak memainkan peranan. (Rasanya ubaid) lg ariff bab ni. jadi sampai di sini jerla komen saya yer.

psst: harap x pjg sgt ;P

A. Ubaidillah Alias said...

Ubaid :

Misyar seolah2 merendahkan status suami dalam sesebuah perkahwinan.

Setuju.

Amermeftah said...

Kalau suami tak tahan daulat, tambah susah.

Ada yang berpendapat, poligami makruh sebenarnya. Kerana Tuhan menyambung setelah membenarkan berkahwin dua, tiga atau empat, bahawa memadai dengan satu jika takut tak berlaku adil. Kalau begitu, salahlah Cucu Datu Merah (filem lama) kerana dia berpoligami kerana mengikut sunnah.

A. Ubaidillah Alias said...

Berkahwin melibatkan 3 situasi.

Situasi pertama: Jika lelaki tidak ada kemampuan untuk memberi nafkah zahir dan batin. Haram baginya kahwin dan wajib baginya berpuasa.

Situasi kedua : Lelaki itu sudah cukup segalanya dan mampu memberi nafkah zahir dan batin kepada isterinya. Dalam masa yang sama dia tidak begitu terdesak dengan tuntutan nasu syahwatnya. Sunat atau harus baginya berkahwin ketika ini.


Situasi ketiga : Lelaki itu sudah mampu memberi nafkah zahir dan batin, dalam masa yang sama nafsunya juga sudah mendesak-desak agar dia segera mencari pasangan. Jika terlambat, dibimbangi dia akan terjebak dengan zina. Wajib bagi lelaki itu kahwin.

Jadi...

:) Hukum kahwin lebih dari satu ini bergantung pada situasi di atas juga. Jika satu...tak cukup. Tambah lagi.

Sanghamba said...

Setiap Syariat yg Allah tetapkan pasti ada kebaikannya kpd manusia, termasuklah poligami. Contohnya jika isteri pertama mandul. Cuma yang bermasalahnya bukan syariat, tetapi ummat. Ummat hari ini banyak beramal berlandaskan nafsu, bukan kerana Allah atau untuk menjaga agama Allah. Apabila niatnya sudah terpesong dari maksud agama, tak cukup syarat pun dikatanya cukup syarat. Amalan agama sendiri pun lintang-pukang bagaimana nak kawin dua?

Wallahu'alam. Sekadar pendapat orang jahil.